Rabu, 14 November 2007

Siti Nurhaliza yyk"'93


Transkripsi bukan sekadar judul album terbaru Siti Nurhaliza. Malah Transkripsi membawa maksud Siti Nurhaliza melahirkan isi hatinya dalam bentuk teks.
Mengikut Kamus Dewan, “transkripsi” antara lain membawa maksud “teks penuh berdasarkan rakaman ucapan dan sebagainya.”
Jadi album ini bukan album biasa. Malah bukan sekadar dimuatkan nyanyian merdu Siti Nurhaliza sebaliknya curahan hati terutama dalam lagu Biarlah Rahsia.
Lirik lagu ini ditulis sendiri oleh Siti Nurhaliza, bahasanya mudah, maknanya terang biarpun judulnya Biarlah Rahsia. Terasa lirik lagu ini mempunyai kaitan dengan Siti Nurhaliza sejak akhir-akhir ini.
Biarlah kalau ada menganggap lirik ini sekadar gimik. Hakikatnya di sebalik lirik ini adalah luahan rasa cinta seorang wanita bernama Siti Nurhaliza.
Jika dalam lagu itu Siti Nurhaliza meminta supaya semua orang menghormati pendiriannya, mengerti hati dan perasaannya yang kian meronta-ronta, memang itulah yang diharapkan daripada siapa saja yang mendengar lagu ini.
“Secara jujur memang Siti curahkan keinginan, rasa hati dan perasaan Siti melalui lirik lagu ini. Siti bukan tuju kepada orang media, tetapi kepada semua yang mengenali Siti. Siti mahu semua pihak memahami saya, kalau mereka memahami Siti, Siti tidak akan menjauhkan diri daripada mereka,” katanya yang semakin bijak menyusun kata dan frasa.
Sememangnya album ini adalah bahasa jiwa Siti Nurhaliza yang semua kisahnya menjadi bualan di merata-rata. Dari sudut hati yang paling dalam, dia memohon agar dimengertikan.
Justeru apabila dirinya sedang dalam alam percintaan, itulah yang tergambar melalui album yang satu ini. Baik teman atau keluarga, Siti Nurhaliza mendambakan hak untuk membuat pilihan dalam hidupnya.
Tetapi saya tetap percaya Siti tidak akan rela membiarkan hati keluarganya terluka dengan keputusan yang dipilih selepas ini. Relung cintanya yang sedikit berliku itu tentunya bukan yang boleh mengubah Siti Nurhaliza yang dulu menjadi Siti Nurhaliza yang baru.
Kata Siti Nurhaliza, lirik Biarlah Rahsia ditulis dalam masa sehari. Jiwanya tenang dan lega selepas menyelesaikan transkripsi daripada suara jiwanya yang bahagia bercampur sedikit duka itu.
“Dalam kehidupan kadangkala sukar untuk kita menyatakan sesuatu. Siti lega selepas tulis lirik Biarlah Rahsia. Apa yang Siti hendak sampaikan Siti sudah tulis dengan terang dan Siti harap orang akan faham,” katanya.
Bercakap tentang album pertama yang diterbitkan oleh syarikatnya sendiri, album ini mengambil masa hampir dua tahun untuk diterbitkan.
Tonggak penting di sebalik pembikinan album ini ialah pengarah muzik tersohor Indonesia, Erwin Gutawa selain nama-nama seperti Melly Goeslow, Glenn dan Tengku Syafiq.
Siti Nurhaliza Production membelanjakan lebih RM100 ribu untuk album ini.
Di sebalik kisah album, cerita cinta dan sebagainya saya melihat Siti Nurhaliza pada akhir-akhir ini berbeza daripada apa yang saya kenali selama lebih 10 tahun.
Tiada lagi rahsia dan Siti semakin bersedia untuk berkongsi kisah dirinya dengan semua orang termasuk hal-hal membabitkan cinta.
Jika sebelum ini Siti Nurhaliza tersipu-sipu malu kala diusik tentang kisah cinta, selalu mengelak dengan jelingan atau senyuman rahsia, kali ini dia lain benar.
Hati saya tertanya-tanya apakah Siti Nurhaliza hari ini ialah orang sama yang pernah saya kenali suatu ketika dahulu?
Dalam sidang akhbar pelancaran Transkripsi baru-baru ini banyak sekali soalan diajukan kepadanya termasuk hal yang agak peribadi. Siti Nurhaliza menjawab dengan tenang dan jelas. Setiap patah kata yang lahir daripada bibirnya merungkai rahsianya selama ini.
Justeru ini membuatkan saya kurang pasti apakah Siti Nurhaliza tidak lagi bimbang andai kata ada hati yang akan terguris dengan kata yang lahir daripada bibirnya itu?
Sesuai dengan judul album Transkripsi, di bawah ini saya membuat transkripsi sidang media yang diadakan baru-baru ini.
Apakah Siti sanggup mengecewakan hati keluarga semata-mata kerana cinta?
Siti sudah berikan yang terbaik. Baik kepada karier, keluarga dan peribadi. Tinggal lagi Siti sendiri perlukan kebahagiaan untuk diri sendiri pula.
Sama ada kehidupan Siti selepas ini suka ke, duka ke, gagal atau macam mana, akhirnya itu adalah perjalanan hidup Siti sendiri.
Orang lain boleh beri pendapat tetapi keputusannya ada pada Siti sendiri. Sebagai manusia biasa, dalam sesuatu keadaan Siti hendak buat keputusan sendiri.
Siti mahu menjadi wanita yang berdiri di atas kaki sendiri dan boleh membuat keputusan untuk diri Siti sendiri.
Andai kata percintaan Siti tidak mendapat restu keluarga, apakah Siti akan meneruskan hubungan itu?
Apa-apa pun keadaannya Siti akan dapatkan restu keluarga. Siti percaya kepada kehidupan, sudah tertulis dalam lohmahfuz begitu dan begini. Kalau sekalipun kehidupan Siti sukar selepas ini, itu adalah catatan diari kehidupan Siti sendiri. Siti kenalah reda dengan apa yang telah ditakdirkan kerana itu adalah kehidupan.
Bunyinya macam hubungan Siti dengan si dia memang bermasalah. Benarkah?
Inilah kehidupan. Kalau cakap tak ada, mungkin ada. Kalau cakap ada, mungkin tak ada. Tetapi Siti percaya dalam hidup kena banyak belajar. Siti belajar dari kegagalan dan kesilapan lalu. Kehidupan tak semestinya yang indah-indah belaka akan berlaku. Siti lalui semuanya dengan baik. Insya-Allah kalau niat kita baik, kesusahan akan berlalu pergi.
Apakah Siti akan berkahwin dalam tahun ini juga?
Wallahualam. Siti berserah kepada Allah saja. Kalau cepat alhamdulillah, Siti terima saja. Tak adalah masalah ini jadi lebih panjang lagi. Kalau betul hari yang baik itu sampai, Siti tidak akan lupakan pihak media. Siti akan beritahu.
Kenapa perlu berteka-teki siapakah lelaki sebenar yang menjadi teman lelaki Siti sekarang?
Bukan mudah untuk Siti cakap. Apa yang Siti boleh bagi tau Siti sudah punya teman dan gembira dengan hari-hari sekarang. Dengan siapa? Siti tak boleh bagi tahu sekarang. Siti terima sajalah apa yang orang hendak cakap. Orang boleh cakap apa saja. Tetapi yang membuat pilihan dan melaluinya adalah Siti.
Dalam keadaan tertekan dengan macam-macam spekulasi seperti sekarang, apakah teman lelaki Siti banyak membantu?
Semua pihak membantu, keluarga dan teman-teman yang lain. Mereka cuba fahami keadaan Siti. Siti tak mahu diagung-agungkan, tak mahu dipuja dan dipuji. Cuma Siti minta mereka fahami saja diri Siti.
Memang Siti sudah bersedia untuk menjadi seorang isteri?
Siti akui masanya sudah sampai. Siti tengok kehidupan adik-beradik yang lain, umur seperti Siti sekaranglah mereka kahwin. Siti tidak boleh bohong yang dalam usia sekarang memang Siti sudah bersedia. Lagipun Siti sukakan budak-budak. Setiap masa Siti berdoa yang terbaik untuk segala-galanya termasuk dalam soal jodoh. Siti mencari lelaki yang jujur, ikhlas dan yang sayangkan Siti. Itu saja.
Bagaimana seandainya Siti berkongsi kasih dengan wanita lain?
Kita kena terbukalah. Sebagai manusia kita tak tahu perjalanan hidup kita macam mana. Siti reda dengan apa juga yang bakal berlaku.
Apakah Siti bersedia kalau percintaan ini tidak sampai ke jenjang pelamin?
Wallahualam. Siti reda saja apa yang bakal berlaku.
Petang itu saya tinggalkan Siti Nurhaliza dengan harapan semoga dia bijaksana mentafsir gejolak rasa dan keinginan diri. Semoga Siti Nurhaliza tidak tersalah membuat pilihan demi kehidupannya pada masa depan. Siti Nurhaliza menjadi ‘jantung hati’ Malaysia dan Nusantara ini berhak bertemu jodoh dengan lelaki yang terbaik juga. Moga ‘putera hatinya’ lelaki yang disayangi oleh semua – keluarga, peminat dan sudah pasti empunya diri.